BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Hari Qiamat pasti akan terjadi. Di saat itu, langit akan pecah, gunung-ganang akan berterbangan, bumi dan seisinya akan hancur lebur. Sebelum itu banyak peristiwa akan mendahuluinya, sebagai petanda hampir tiba saatnya: kemerosotan umat Islam, para Ulama berkurangan, ujian berat terhadap iman, kemungkaran berleluasa di tengah-tengah masyarakat, keruntuhan moral, gempa bumi demi gempa bumi, peperangan demi peperangan. Bahkan debaran jantung dunia sentiasa dikejutkan oleh peristiwa-peristiwa ganjil yang akan terjadi dari masa ke semasa. Oleh itu marilah kita renungkan bersama wasiat junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. untuk kita dapat mengenali tanda-tanda golongan yang sesat. Maka dengan itu, mudah-mudahan kita akan terselamat dari mereka dan terus berada di garisan yang haq dan termasuk golongan yang selamat.
SYAIR WASIAT DI AKHIR ZAMAN
Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sisi Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman
Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati
1. Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain
Janganlah suka hanya mengata
Orang ramai telah binasa
Bangkitlah kita menabur jasa
Usaha kita di alam nyata
Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah
2. Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan
Jangan biarkan umat binasa
Mungkar maksiat merajalela
Kita semua nanti merasa
Akibat buruk datang menimpa
Dinding Ya̢۪juj mula terbuka
Tanda dunia akan binasa
Walaupun ada insan bertaqwa
Bila mungkar sudah merata
3. Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam
Dunia luar datang mengepung
Dunia Islam sudah terkurung
Ibarat buih hanyut terapung
Dipukul ombak besar menggulung
Bilangan banyak tidak berguna
Bila â€Å“wahan†penyakit kita
Takutkan mati, cinta dunia
Sangat merosak iman di dada
4. Ilmu Agama Akan Beransur Hilang
Ilmu agama beransur hilang
Para Ulama kian berkurang
Ilmu dunia makin cemerlang
Jadi tumpuan semua orang
Bekalkan diri ilmu akhirat
Untuk laksana amal ibadat
Tuntutlah ilmu sebelum diangkat
Negeri akhirat dapat selamat
5. Umat Islam Mengikut Langkah Yahudi Dan Nasrani
Langkah Yahudi jangan diturut
Jalan Nasrani jangan diikut
Kenapa kita mesti melutut
Kepada bangsa bersifat taghut
Umat Yahudi dimurka Tuhan
Ilmu dituntut, amal tinggalkan
Umat Nasrani sesat di jalan
Amal dibuat tanpa pedoman
6. Golongan Anti Hadis
Al Quran itu kalam Ilahi
Pedoman hidup kekal abadi
Hadis Junjungan jangan dinafi
Tempat kedua pedoman suci
Ulama Salaf jadi teladan
Banyak mengarang berbagai â€Å“sunanâ€
Jadikan ia sebagai pegangan
Janganlah ia kita abaikan
7. Golongan Yang Sentiasa Menang
Setiap zaman dan juga tempat
Mestilah wujud pembela umat
Walau berbagai rintang menghambat
Tetap berjaya tidak tersekat
Kepada Allah syukur dipanjat
Memilih kita sebaik umat
Penyebar ilmu, pembawa rahmat
Hidup kita membawa berkat
8. Penyakit Umat-umat Dahulu
Umat dahulu banyak penyakit
Kerana mewah banyak berduit
Harta dihimpun berderet-deret
Akhirnya hidup himpit-menghimpit
Usah ikuti jalan mereka
Jikalau kita mahu bahgia
Biarlah hidup berpada-pada
Dunia ini menuju fana
9. Islam Kembali Dagang
Nasib agama di akhir zaman
Kembali asing dari pandangan
Ramailah orang sudah lupakan
Rukun Islam dan Rukun Iman
Wahai ke mana arah tujuan
Bila agama sudah lupakan
Marilah kita cuba hidupkan
Sunnah Junjungan Syariat Tuhan
10. Bahaya Kemewahan
Cubalah lihat para sahabat
Banyak bersabar, rajin ibadat
Walaupun hidup susah melarat
Di sisi Tuhan selalu taat
Cubalah lihat pada dirimu
Semua cukup makan dijamu
Ibadat kurang, suka mengadu
Bekal akhirat kurang ditumpu
11. Umat Islam Memusnahkan Orang-orang Yahudi
Sabarlah kita dalam menanti
Masa datangnya Nusrah Ilahi
Ketika itu umat Yahudi
Habis semua akan dibasmi
Batu dan kayu turut membantu
Mujahid kita di kala itu
Sehingga Islam dapat berkubu
Rantau dunia menjadi satu
12. Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit
Sifat amanah nanti akan hilang
Dari kalangan orang terbilang
Tipu menipu tiada sumbang
Nasib dunia bertambah malang
Wahai eloknya bila dilihat
Zahirnya cantik berkilat-kilat
Hatinya curang, lidah berlipat
Sifat amanah telah diangkat
13. Orang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah
Anak derhaka menjadi-jadi
Didikan Islam tidak diberi
Anak tiada mengenang budi
Ibu bapa dibuat abdi
Hujan berkurang, cuaca panas
Makin bertambah pelaku ganas
Budaya lepak, segan dan malas
Dadah dihisap, arak segelas
Alim Ulama tidak dihormat
Ta̢۪zim dan taat tidak diminat
Banyak sekali tempat maksiat
Siang dan malam meruntuh umat
14. Dimanakah Punca Kebinasaan Seseorang
Hendaklah kita berhati-hati
Dalam mencari nafkah dan rezeki
Jangan ikutkan kehendak isteri
Nanti membawa binasa diri
Anak dididik, akhlak diberi
Dengan tarbiyah agama suci
Dari buaian sampai ke mati
Terus menerus tidak berhenti
Jangan abaikan nasihat ini
Nanti kau sesal kemudian hari
Betapa banyak azab diberi
Kerana turutkan kehendak isteri
15. Di antara Golongan Yang Menjadi Penghuni Neraka
Dua golongan pasti diseksa
Jadi penghuni api neraka
Golongan zalim penganiaya
Tidak kasihan rakyat jelata
Kaum wanita urat dibuka
Berlenggang lenggok di jalan raya
Sanggul dililit bagai mahkota
Tak akan mencium semerbak syurga
16. Zaman Orang Tak Peduli Dari Mana Mendapat Harta
Ramai orang tidak mengira
Dari mana beroleh harta
Halal dan haram tidak dibeza
Asalkan cepat menjadi kaya
Memang nafsu susah diatur
Cinta dunia susah dilebur
Jangan biarkan hatimu kotor
Nanti diseksa di alam kubur
17. Harta Riba Wujud Di Merata Tempat
Ramailah orang berlumba-lumba
Untuk mendapat faedah riba
Saham dilabur di mana bursa
Tiada takut akan diseksa
Bukankah sudah diberitahu
Mereka akan menjadi seteru
Kepada Allah Tuhan Yang Satu
Siapa sanggup akan membantu
18. Orang Meminum Khamar & Menamakannya Bukan Khamar
Khamar diminum di banyak kedai
Jadi biasa bersama handai
Banyak terlibat si cerdik pandai
Iman di dada akan tergadai
Alunan muzik ikut sertakan
Biduanita turut nyanyikan
Menari-nari lupa daratan
Bagaikan kera di dalam hutan
19. Sedikit Lelaki, Banyak Perempuan Dan Banyak Perzinaan
Sedikit ilmu banyak yang jahil
Akibat zina banyak yang hamil
Banyak terjadi perkara ganjil
Di sana sini besar dan kecil
Jumlah lelaki kian sedikit
Wanita ramai, berhimpit-himpit
Wanita kerja mencari duit
Peluang lelaki menjadi sempit
20. Hamba Menjadi Tuan & Terbinanya Bangunan Mencakar Langit
Hamba berlagak sebagai tuan
Di sana sini naik bangunan
Sungguh tingginya mencakar awan
Seolah mencabar kuasa Tuhan
Badwi yang miskin kaya terkejut
Baru kelmarin tidak berkasut
Harta dipegang tiada luput
Walaupun kaya tetap kedekut
21. Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasiq
Orang yang jahil rajin ibadat
Tiada ilmu, taat dibuat
Rasa kasihan kita melihat
Mereka hanya beroleh penat
Ada yang alim lupa daratan
Amal ibadat malas lakukan
Ilmu di dada bagai lautan
Menjadi hujah di depan Tuhan
22. Orang Berpegang Dengan Agama Bagai Memegang Bara Api
Ujian berat kita rasakan
Datang menimpa menjadi beban
Alangkah hebat godaan syaitan
Untuk meruntuh istana iman
Bersungguh kita menjaga iman
Banyak cabaran di akhir zaman
Iman ibarat (seakan) api di tangan
Setiap masa mahu lepaskan
23. Golongan Ruwaibidhah (Bila Si Jahil Jadi Pemimpin)
Orang khianat disanjung-sanjung
Orang amanah tidak didukung
Pemimpin zalim bunga dikalung
Mujahid Islam tali digantung
Bangkitlah wahai Pewaris Nabi
Jangan biarkan umat diuji
Teruskan jihad ke jalan suci
Sebar luaskan rahmat Ilahi
24. Peperangan Demi Peperangan
Dari Timur sampai ke Barat
Perang terjadi semakin hebat
Tiada kasihan, mata melihat
Bergelimpangan menjadi mayat
Harta dunia jadi rebutan
Darah ditumpah sebagai tebusan
Tidak peduli kawan dan lawan
Asalkan nafsu dapat puaskan
25. Masa Akan Menjadi Singkat
Masa yang panjang terasa singkat
Amal ibadat belum dibuat
Bulan berlalu hari dan saat
Tanda dunia hampir qiamat
Kenapa kita selalu lalai
Masa dibuang tidak dipakai
Masalah umat berbagai-bagai
Tanggungan kita belum selesai
26. Munculnya Galian-galian Bumi
Galian bumi muncul tercurah
Kurnia Tuhan Yang Maha Murah
Hendaklah syukur, moga ditambah
Janganlah kufur, nanti ditegah
Dunia Islam tambah melimpah
Galian emas, petrol dan timah
Namun mengapa harta diserah
Kepada kafir pemusnah ummah
27. Tanah Arab Yang Tandus Menjadi Lembah Subur
Tanah yang tandus menjadi subur
Kurnia Tuhan Malikul Ghafur
Air dipancut, taman diatur
Sehingga lupa bekalan kubur
Padang Arafah bagaikan taman
Pohon ditanam sepanjang jalan
Sejuk dipandang, sangat menawan
Padang Mahsyar jadi lupakan
28. Ujian Dahsyat Terhadap Iman
Ujian dahsyat terhadap iman
Hampir menggoncang asas pegangan
Di pagi petang, di kiri kanan
Iman di dada jangan lepaskan
Jangan dijual agama suci
Walaupun harga mahal sekali
Simpanlah ia di sanubari
Untuk bekalan menuju mati
29. Kelebihan Beribadat Di Saat Huruhara
Ketika dunia dilanda perang
Kacau dan bilau tidak terbilang
Walaupun hanya engkau seorang
Amal ibadat jangan dikurang
Ketika itu amat berharga
Pahala ibadat dilipat ganda
Bagaikan kita â€Å“hijrah†namanya
Bersama Nabi dalam derita
30. Peperangan Di Sungai Furat Merebut Kekayaan
Di Sungai Furat di Negeri Iraq
Emas kan muncul laksana puncak
Ramai sekali, tentera yang hendak
Datang berperang kerana tamak
Perang berkobar bertahun-tahun
Kerana merebut harta â€Å“Si Qarunâ€
Hadir ke sana berbagai lanun
Untuk merompak harta bertimbun
31. Ketiadaan Imam Untuk Sembahyang Berjemaah
Lama menanti berdiri tegak
Mereka saling tolak menolak
Tak kunjung tiba orang yang warak
Menjadi imam pada khalayak
Inilah taqsir kita semua
Pondok dihapus, tidak dibela
Kitab disimpan tidak dibaca
Sebagai hiasan almari kaca
32. Ulama Tidak Dipedulikan
Para ulama tidak dihormat
Nasib mereka tidak diangkat
Siapa lagi pedoman umat
Kalau mereka tidak diminat
Bila ulama sudah tiada
Barulah kita rasa kecewa
Mayat terbaring dalam keranda
Tiada orang membaca doa
33. Islam Nama Sahaja
Nasib Islam di akhir zaman
Cuma nama tanpa amalan
Quran dibaca dipertandingkan
Suruh-tegahnya tidak hiraukan
Ada ulama cari dunia
Bermacam fatwa mudah dikata
Asalkan dapat wang dan harta
Hukum-hakam direka-reka
34. Al Quran Akan Hilang & Ilmu Akan Diangkat
Hampir qiamat Islam kan mundur
Bagaikan kain yang sudah luntur
Quran kan hilang, tidak ditutur
Ilmu diangkat beransur-ansur
Solat sudah tidak difaham
Ilmu Syari̢۪at tidak di dalam
Terlalu jahil kan rukun Islam
Sehingga â€Å“syahadat†susah ucapkan
35. Lima belas Maksiat Menurunkan Bala
Banyak maksiat orang lakukan
Bala kan turun sebagai seksaan
Angin yang merah Allah tiupkan
Gempa yang dahsyat dan menggegarkan
i.Harta negara jadi habuan, bagi siapa pegang jawatan
ii.Pecah amanah jadi amalan, wang amanah diniagakan
iii.Jadilah zakat laksana hutang
iv.Kehendak isteri tidak dihalang
v.Anak derhaka tidak terbilang
vi.Kawan dibakti, ibu dibuang
vii.Suruhan ayah suka ditinggal
viii.Di dalam masjid suka berbual
ix.Orang yang hina suka ditabal
x.Orang dimulia kerana nakal
xi.Arak diminum tiada sopan
xii.Kain sutera jadi pakaian
xiii.Para artis jadi pujaan
xiv.Muzik yang haram jadi hiburan
xv.Sudahlah diri teruk sekali
Kenapa pula orang dicaci
Sahabat Nabi suka dimaki
Itu perangai orang yang keji
36. Lima Maksiat Disegerakan Balasannya
Lima maksiat dibalas segera
Dalam dunia sebagai dera
Supaya insan insaf dan taqwa
Lalu meminta â€Å“Taubat Nasuhaâ€
i.Bila zina zahir dan nyata, penyakit berat akan menimpa
ii.Sukat dan timbang tidak sempurna, zalim pemimpin pasti dirasa
iii.Bila zakat tidak diberi, kemarau panjang pasti rasai
iv.Janganlah mungkir janji Ilahi, nanti musuh datang menguji
v.Syari̢۪at Allah pasti tegakkan
Pedoman hidup jangan abaikan
Cuai dan taqsir mengakibatkan
Perang saudara yang merugikan
37. Bilakah Akan Terjadi Kehancuran
Bila urusan telah diserah
Kepada orang yang bukan petah
Maka tunggulah hancur dan punah
Ibarat retak menanti belah
Orang yang ahli bukan tiada
Tapi peluang tidak dibuka
Tamak dan rakus jadi penggoda
Akhirnya kita hancur semua
38. Bermegah-megah Dengan Masjid
Masjid mereka tersergam indah
Bagai istana yang sangat mewah
Jadi tumpuan tourist berkelah
Tiada malu aurat didedah
Ketika azan nyaring diseru
Dari menara tersedu-sedu
Hanya sedikit datang menuju
Yang lebih banyak duduk terpaku
39. Menggadaikan Agama Kerana Dunia
Ada kumpulan suka menggadai
Agama suci diubah-suai
Tiada malu kepada handai
Asalkan wang dapat dicapai
Manis ucapan sedap ungkapan
Namun di hati wang niatkan
Allah bersumpah pasti turunkan
Azab yang pedih dan membingungkan
40. Golongan Yang Selamat
Umat Yahudi berpecah belah
Umat Nasrani berpaling tadah
Semua akan Syurga ditegah
Hanyalah satu diberi Jannah
Umat Islam juga berpecah
Banyak golongan berbagai firqah
Hanyalah satu Neraka ditegah
Kumpulan Ahli Sunnah wal Jemaah
41. Lahirnya Imam Mahdi
Dunia Islam akan dipimpin
Oleh seorang Imam yang mukmin
Timur dan Barat akan terjalin
Dunia makmur tiada miskin
Mahdi yang adil sangat disayang
Oleh kalangan semua orang
Dunia makmur, aman dan tenang
Tiada orang hendak berperang
42. Sepuluh Tanda Qiamat Yang Besar
Tanda Qiamat terlalu banyak
Tapi sepuluh paling mustahak
Sebelum langit belah terkoyak
Sebelum bumi hancur meledak
i.Dajjal akan datang membawa fitnah, ramailah orang akan dikalah
ii.Asap berkepul awan dibelah
iii.Binatang ganjil muncul di Mekah
iv.Matahari terbit di Barat
v.Nabi Isa turun mendarat
vi.Yakjuj dan Makjuj memangsa umat
vii.Gempa bumi di Timur
viii.Gempa bumi di Barat
ix.Negeri Arab akan bergegar, gempa yang dahsyat jantung berdebar
x.Api menyala yang sangat besar, di negeri Yaman mula berkobar
PENUTUP/INTISARI
1.Hendaklah kita bermuhasabah
Amal ditingkat taqwa ditambah
Tinggalkan dosa dan juga salah
Kepada Allah meminta taubah
2.Teguhkan tauhid serta aqidah
Ikut golongan Sunnah Jemaah
Jangan turutkan firqah yang salah
Ikutlah langkah para sahabat
3.Ilmu agama wajib dituntut
Sebelum masa menjadi luput
Walaupun jauh di seberang laut
Janganlah himmah menjadi surut
4.Hati yang kotor wajib dicuci
Tempat pandangan Rabbul Izzati
Ilmu tasawwuf wajib dikaji
Untuk membuang penyakit hati
5.Dalam usaha mencari makan
Harta yang haram mesti jauhkan
Khususnya riba jangan amalkan
Nanti membawa binasa badan
6.Anak dan isteri wajib dididik
Begitu juga adik beradik
Kerja mereka kena selidik
Agar mereka menjadi baik
7.Bacalah Quran setiap hari
Dengan tadabbur dan faham erti
Kalam Ilahi penawar hati
Di malam sunyi teman sejati
8.Fakir dan miskin mesti diasuh
Agar mereka tidak mengeluh
Sebagai sedekah yang kita taruh
Nanti ganjaran didapat penuh
9.Hendaklah Islam difaham syumul
Seperti mana kehendak Rasul
Hidup sendiri atau berkumpul
Agar amalan dapat dimakbul
10.Hendaklah kita jadi pembela
Agama suci pegangan kita
Rancangan musuh mesti waspada
Agar umat tetap berjaya
Inilah syair kita gubahkan
Disedut dari hadis pilihan
Wasiat Nabi jangan lupakan
Pedoman hidup di akhir zaman
Sampai di sini syair disusun
Salah dan silap minta diampun
Kepada Allah doa dipohon
Bersama Nabi kita dihimpun
Syafaat Uzma dari Baginda
Hanyalah itu harapan kita
Memohon ampun segala dosa
Serta diqabul semua doa.
(Penghargaan: Abu Ali Al Banjari An Nadwi; Nadil Wasithiah, Derang. Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Kedah)"
SUMBER: TRANUNGKITE.